Petikan Akhbar Harian Metro 4 Januari 2009

SYARIKAT: Mahmudin Agency Sdn Bhd
Islamic Financial Planner (IFP)

ANUGERAH: Anugerah Wakil Individu Terbaik 2000, Takaful Nasional (sekarang Etiqa Takaful) dan Anugerah Agensi Jutaan Ringgit Etiqa Takaful dari 2003 hingga 2008

HAMPIR setiap hari selepas tamat waktu kerjanya di sebuah kilang di Bangi, Mahmudin Ahmad bergegas ke bilik persalinan. Daripada seragam pekerja kilang, beliau menukar kepada pakaian pekerja pejabat yang lengkap bertali leher, sekali gus mengundang tawa dan sindiran rakan.

Selepas itu, beliau menunggang motosikal ‘kapcai’ kesayangannya untuk melaksanakan temu janji dengan pelanggan.

Sering juga Mahmudin ‘sorokkan’ motosikal usangnya jauh dari pelanggan. Bukan malu, tapi untuk mengelak pelanggan hilang keyakinan.

Bagaimanapun, itu cerita 20 tahun lalu ketika Mahmudin yang kini berusia 42 mula bertapak dalam bidang pemasaran insurans dan takaful.

Kini, motosikal kapcai jenis Yamaha CDI berwarna biru itu hanya tinggal kenangan dan penggantinya adalah deretan kenderaan mewah, termasuk jenis Mercedes Benz.

“Tak payahlah tulis berapa kereta yang saya ada, nanti orang kata saya riak dan nak tunjuk kaya pula,” kata Mahmudin yang kini berpendapatan melebihi enam angka setiap bulan berbanding RM550 sebulan ketika dia bekerja kilang dulu.

Anak pesawah dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor itu berkata, kesediaannya ditemu bual Metro Ahad adalah untuk berkongsi pengalaman supaya ia mampu menjadi motivasi dan memberi semangat kepada individu lain untuk berjaya dalam hidup.

“Siapa kata anak petani tak boleh berjaya? Siapa kata lulusan SPM tak boleh hidup mewah? Yang penting ialah usaha dan kesungguhan. Jika kita gigih, insya-Allah kejayaan menjadi milik kita,” katanya yang kini berjawatan Pengurus Agensi Kumpulan, Wakil Etiqa Takaful Keluarga dan Am, Mahmudin Agency Sdn Bhd.

Selepas berhempas pulas selama 20 tahun, beliau kini mampu memiliki dua rumah berkembar, deretan kereta mewah, memiliki pejabat operasi bernaung di bawah Etiqa Takaful Berhad (Kumpulan Maybank) di Taman Putra Kajang, Kajang dan tiga pejabat cawangan syarikatnya masing-masing di Kajang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya.

Menyedari hidupnya yang susah sebagai anak tani, selain turut membantu bapanya mengerjakan sawah, Mahmudin nekad berhijrah ke Kuala Lumpur selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal 1980-an untuk mengubah taraf kehidupan beliau dan keluarga.

Sekadar berbekalkan sijil SPM, Mahmudin bekerja kilang di Nikom Steel, Bangi, tapi bekerja sambilan sebagai ejen insurans selepas melihat banyak peluang untuk beliau mencipta kejayaan berikutan bidang itu masih kurang diterokai kaum Bumiputera.

“Saya mula terbabit dalam kerjaya sebagai ejen insurans selepas diajak seorang rakan berbangsa Cina. Namanya Lau Siong Seng. Dia banyak mengajar saya cara berkomunikasi dan meyakinkan pelanggan. Boleh katakan, dialah guru saya.

“Sekitar penghujung 1980-an hingga awal 1990-an, banyak cabaran perlu dilalui ejen insurans. Ketika itu, bukan mudah meyakinkan orang untuk mendapatkan perlindungan insurans kerana tahap pengetahuan serta kesedaran masyarakat, terutama orang Melayu, mengenai kepentingan perlindungan insurans masih rendah.

“Jadi, nak dapat pelanggan memang susah. Daripada 20 temu janji dengan pelanggan, hanya tiga atau lima yang ‘sangkut’, tapi saya lihat ketika itu ramai bukan Bumiputera yang menceburi bidang ini sudah berjaya.

“Daripada situ saya menilai, mengapa saya tidak boleh lakukan, sedangkan potensi mendapat pelanggan di kalangan orang Melayu lebih besar. Kesedaran itu membuatkan saya berusaha lebih gigih,” katanya.

Kata Mahmudin, hampir setiap hari beliau berulang alik sekitar Bangi, Kajang dan Kuala Lumpur mencari pelanggan dengan hanya menggunakan sebuah motosikal ‘kapcai’ jenis Yamaha CDI berwarna biru.

“Selepas habis kerja (di kilang), saya bergegas ke bilik persalinan untuk menukar pakaian dan memakai tali leher untuk menjadi ejen insurans pula. Rakan lain mengutuk saya dan mengatakan saya hanya membuang masa, tapi saya tidak patah semangat.

“Dihalau dari rumah pelanggan sudah menjadi asam garam. Ketika itu saya terpaksa meletak motosikal jauh daripada pandangan pelanggan yang ingin ditemui. Bukan kerana malu, tetapi penampilan begitu boleh menghilangkan keyakinan pelanggan,” katanya.

Usaha Mahmudin berbaloi apabila beliau meraih ramai pelanggan selepas tiga bulan bersusah payah hingga melayakkannya menerima Anugerah Ejen Terbaik Bumiputera.

Tanpa menoleh ke belakang, beliau berhenti kerja di kilang dan mengambil keputusan menjadi ejen insurans sepenuh masa.

Pada Mac 2000, beliau mengorak langkah baru dan berhijrah ke Takaful Nasional (sekarang Etiqa Takaful).

Sejak itu hidup dan kerjaya beliau semakin bersinar dan boleh dikatakan daripada ejen biasa, beliau bertukar menjadi ‘luar biasa’.

“Dengan pengalaman yang ada, saya ambil peluang mendapatkan sebanyak mungkin pelanggan dan mengembangkan kerjaya dalam bidang ini.

“Saya juga bertuah kerana masyarakat semakin sedar kepentingan mengambil polisi insurans dan perlindungan nyawa, lebih-lebih lagi yang berkonsepkan takaful kerana ia mengambil pendekatan Islam,” katanya.

Tidak sampai setahun bekerja dengan Takaful Nasional, Mahmudin menerima anugerah Wakil Individu Terbaik 2000, Takaful Nasional.

Tidak berhenti setakat itu, pada 2002 beliau mendaki jawatan lebih tinggi sebagai Pengurus Etiqa Takaful dan bertanggungjawab melatih ejen baru yang menceburi bidang ini

“Ketika itu saya hanya mengadakan latihan kepada ejen baru di rumah kediaman saya di sebuah flat sekitar Bandar Baru Bangi. Memang ‘daif’ keadaan saya ketika itu, tapi ia hanya permulaan.

“Berkat ketabahan, pada 2003 saya membuka pejabat operasi pertama di rumah kedai di Jalan 6C/7, Bandar Baru Bangi. Tahun berikutnya, saya membuka pula pejabat operasi di Putrajaya,” katanya.

Apabila dilantik menjadi Pengurus Agensi Kumpulan, bagai tiada lagi penghalang kepada beliau mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam bidang ini dengan menubuhkan Mahmudin Agency Sdn Bhd.

Hasil titik peluhnya juga, pada Februari lalu beliau membuka pejabat operasi di 32-1A, Jalan Putra 7, Taman Putra Kajang, Kajang dan membuka satu lagi cawangan pada Jun berikutnya di Taman Kajang Utama.
Harus berani sahut cabaran

PENGALAMAN 20 tahun dalam bidang insurans dan takaful yang dimiliki Mahmudin selayaknya diiktiraf sebagai pencapaian yang mengagumkan.

Tidak hairan dengan pencapaian itu, beliau mampu melahirkan enam pengurus berwibawa dan 300 ejen di bawah Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) dalam syarikat Mahmudin Agency Sdn Bhd bagi pengurusan polisi takaful keluarga dan am.

Menurut Mahmudin, kini syarikatnya giat menambah bilangan ejen kepada 500 orang menjelang 2009, selain ingin melahirkan lebih ramai pengurus terlatih dalam jagaannya.

“Dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, saya menyimpan hasrat untuk berkongsi segala ilmu yang ada bersama ejen baru yang ingin berjaya.
“Ini satu peluang mengubah hidup, tiada yang mustahil jika ada keinginan untuk berjaya. Saya juga tidak kedekut memberi pengetahuan yang dimiliki, ada baiknya ia dikongsi dan membuka jalan pada orang lain,” katanya.
Untuk melahirkan ejen yang berkebolehan, beliau mengadakan latihan dan seminar secara intensif di pejabat operasinya, Taman Putra Kajang, Kajang setiap hujung minggu.

Katanya, peluang dalam bidang ini juga bertambah baik kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mengambil polisi insurans dan takaful semakin menggalakkan.

“Jika rajin, seorang ejen boleh mendapat 20 temujanji dan mendapat antara 15 hingga 17 pelanggan. Keadaan sudah jauh berbeza dibandingkan ketika saya mula menceburi bidang ini dulu.

“Jika berani berubah dan ada keinginan untuk menjadi jutawan dan memperoleh pendapatan tanpa batas, ini satu peluang yang patut diceburi. Sudah ramai ejen yang berjaya hari ini kerana berani sahut cabaran,” katanya.

Selain itu, menurutnya, beliau sedang membangunkan laman web, www.sifoojutawan.blogspot.com, yang akan mengetengahkan pengetahuan dan ilmu, serta sedikit pengalamannya mengenai bidang yang diceburinya ini.

“Ia bertepatan dengan moto Etiqa iaitu ‘mentakafulkan insan’, iaitu memberi jalan dan kesedaran kepada orang ramai untuk mendapat kebaikan bersama,” katanya.

0 comments:

Copyright © 2009 - Sifoo Jutawan - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template